fb fb fb fb fb

93 trak bantuan PBB dibenar masuki Gaza, tapi agihan masih terbantut

FOTO AFP

GAZA, 21 Mei- Israel membenarkan 93 trak bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memasuki Gaza pada Selasa, sehari selepas sekatan penuh yang dikenakan sejak 2 Mac lalu mula dilonggarkan.

Menurut COGAT, agensi di bawah Kementerian Pertahanan Israel yang mengurus hal ehwal awam di wilayah Palestin, trak-trak tersebut membawa pelbagai bantuan termasuk tepung untuk roti, makanan bayi, peralatan perubatan serta ubat-ubatan, dan semuanya masuk melalui lintasan Kerem Shalom.

Perkembangan itu berlaku di tengah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Israel susulan keadaan kemanusiaan di Gaza yang kian kritikal, selain gesaan beberapa negara Eropah agar Israel membenarkan lebih banyak bantuan disalurkan.

Jurucakap PBB memaklumkan bahawa mereka telah diberikan kebenaran untuk menghantar sekitar 100 trak bantuan, susulan sembilan trak yang dibenarkan masuk pada hari sebelumnya.

Namun, Ketua Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, menyifatkan jumlah itu sebagai “setitis dalam lautan” berbanding keperluan sebenar di lapangan.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Stephane Dujarric pula berkata bahawa walaupun “beberapa dozen” trak berjaya masuk pada Selasa, usaha mengagihkan bantuan masih tergendala.

“Hari ini, salah satu pasukan kami terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan lampu hijau daripada Israel bagi mengambil bekalan pemakanan. Malangnya, mereka tidak dapat membawa masuk bekalan itu ke dalam gudang kami,” katanya.

“Jadi, untuk perjelas, walaupun lebih banyak bantuan berjaya menembusi Gaza, kami masih belum dapat memastikan bantuan itu sampai ke gudang dan titik agihan.”-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE