WASHINGTON, 22 Mei- Amerika Syarikat telah berbincang dengan beberapa negara mengenai kemungkinan menerima pelarian Palestin dari Gaza secara "sukarela", susulan operasi ketenteraan berterusan oleh Israel di wilayah bergolak itu.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memaklumkan kepada Jawatankuasa Hubungan Luar Senat bahawa tiada rancangan untuk mengusir penduduk Gaza secara paksa, sebaliknya hanya membuka ruang kepada mana-mana individu yang ingin berpindah atas kehendak sendiri, terutama atas faktor kesihatan atau pendidikan anak-anak.
“Kami bercakap dengan beberapa negara sekiranya ada individu yang secara sukarela mahu berpindah sementara ke tempat lain... adakah negara-negara serantau bersedia untuk menerima mereka buat sementara waktu?” kata Rubio.
Beliau menegaskan bahawa keputusan itu adalah atas kehendak individu, dan bukan dalam bentuk pengusiran atau perpindahan paksa.
Namun, kenyataan tersebut dipersoalkan oleh Senator Demokrat, Jeff Merkley, yang mempersoal sama ada keputusan berpindah dalam keadaan tiada air bersih, makanan dan dihujani bom boleh dianggap sebagai "sukarela".
Rubio bagaimanapun tidak menamakan negara-negara yang telah didekati, tetapi menafikan Libya terlibat dalam rundingan tersebut.
Sebelum ini, laporan NBC News memetik sumber mendakwa pentadbiran Presiden Donald Trump sedang merangka pelan memindahkan sehingga sejuta penduduk Gaza secara kekal ke Libya, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat antarabangsa terhadap potensi pelanggaran hak asasi dan krisis pelarian yang lebih besar.
Kenyataan itu hadir ketika Israel sekali lagi memberi amaran kepada penduduk Gaza untuk berpindah susulan operasi terbaru, selepas lebih dua bulan mengepung wilayah tersebut tanpa membenarkan bekalan makanan dan bantuan kemanusiaan masuk. Hampir keseluruhan penduduk Gaza kini telah hilang tempat tinggal sejak serangan balas Israel bermula pada 7 Oktober 2023.- AFP