fb fb fb fb fb

Tentera Sudan berjaya kuasai Istana Presiden di Khartoum

Tentera Sudan berjaya menawan semula Istana Presiden di Khartoum daripada RSF/ AFP

KHARTOUM, 21 Mac- Tentera Sudan mengumumkan telah menguasai Istana Presiden di Khartoum selepas pertempuran sengit dengan Pasukan Sokongan Pantas (RSF).

"Pasukan kami telah memusnahkan sepenuhnya pejuang dan peralatan musuh, serta merampas sejumlah besar peralatan dan senjata," kata jurucakap tentera, Nabil Abdallah menerusi satu kenyataan yang disiarkan di televisyen negara.

Nabil berikrar Tentera Sudan akan terus mara sehingga kemenangan sepenuhnya dicapai dan setiap pelosok negara dibersihkan daripada musuh dan penyokongnya.

Menerusi media sosial, tentera berkongsi video seperti berada di dalam istana presiden, serta bertukar ucapan tahniah. Namun, AFP tidak dapat mengesahkan rakaman tersebut dengan segera.

Pasukan separa tentera telah menduduki istana tersebut pada April 2023, ketika konflik tercetus antara RSF dan tentera. Ketika itu, RSF menguasai jalan-jalan di Khartoum.

Istana presiden terletak di tengah-tengah ibu kota Khartoum dengan kementerian-kementerian dan kawasan perniagaan ibu kota, telah menjadi lokasi pertempuran sengit sejak beberapa bulan kebelakangan ini, selepas tentera melakukan serangan besar-besaran ke bandar itu.

Pada awal minggu ini, Tentera Sudan berkata pasukannya telah bergabung dari utara dan selatan, mengepung RSF.

Konflik antara tentera dan RSF yang berlarutan dalam tempoh hampir dua tahun telah mengorbankan puluhan ribu nyawa serta menyebabkan lebih 12 juta penduduk terpaksa berpindah.-AFP

ROSLINA BINTI DIN