BAITULMAQDIS, 21 Mac– Pasukan penjajah Israel mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan jemaah Islam Palestin yang datang dari Tebing Barat ke kota Baitulmaqdis yang diduduki untuk menunaikan solat Jumaat ketiga pada bulan Ramadan di Masjid Al-Aqsa.
Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, ribuan jemaah telah dihalang dan dinafikan akses ke bandar itu dengan alasan tidak mempunyai permit yang diperlukan.
Tentera Israel seterusnya bertindak melakukan pemeriksaan pengenalan diri warganegara Palestin serta menghalang lelaki dan wanita yang telah mendapat permit khas memasuki Baitulmaqdis.
Bagaimanapun, ribuan rakyat telah melalui pusat pemeriksaan sejak pagi tadi dalam usaha untuk sampai ke Masjid Al-Aqsa.
Sementara itu, sumber tempatan melaporkan penempatan besar tentera Israel di sekitar pusat pemeriksaan Qalandiya di utara Baitulmaqdis, pusat pemeriksaan Zeitoun di timur dan Betlehem di selatan.
Tambahnya, pasukan pendudukan menutup pintu pusat pemeriksaan tentera Qalandia dan menghalang sesiapa daripada masuk selama kira-kira setengah jam sebelum membukanya semula.
Pasukan pendudukan turut menahan seorang wartawan dan menyoal siasat di tempat kejadian selepas menghalang tugasan di lokasi tersebut.
Pihak berkuasa pendudukan telah mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan penduduk Islam Palestin ke Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa sejak tercetusnya pencerobohan Israel yang berterusan ke atas rakyat Palestin pada Oktober 2023.