fb fb fb fb fb

Dua bot migran karam di Libya, empat disahkan terkorban

Foto Reuters

ISTANBUL, 16 November - Empat migran maut selepas dua bot yang membawa hampir 100 penumpang terbalik di perairan Al-Khums, barat laut Libya, menurut Bulan Sabit Merah Libya pada Sabtu.

Organisasi itu berkata mereka menerima laporan lewat Khamis mengenai dua bot migran yang terbalik berhampiran pesisir Al-Khums, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bot pertama membawa 26 migran dari Bangladesh, dengan empat daripada mereka ditemukan maut.

Bot kedua membawa 69 orang termasuk dua warga Mesir dan 67 warga Sudan, serta lapan kanak-kanak, menurut Bulan Sabit Merah.

Pasukan kecemasan dan penyelamat dikerah ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa, mengeluarkan mayat mangsa serta memberikan rawatan, katanya.

Pihak berkuasa terus berdepan cabaran migrasi yang semakin meningkat, dengan negara-negara EU di sepanjang Mediterranean menyuarakan kebimbangan terhadap kemasukan migran tidak sah ke pantai mereka.

Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada Rabu berkata angka kematian migran yang cuba menyeberangi Mediterranean Tengah tahun ini telah melebihi 1,000 orang.-BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH