fb fb fb fb fb

Tentera Mexico tembak pendatang, bakal berdepan siasatan

Foto Reuters

BANDARAYA MEXICO, 4 Oktober- Pihak berkuasa Mexico menahan tentera yang terbabit dalam kes menembak sebuah trak pikap ketika rondaan, apabila menyebabkan kematian enam pendatang asing.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mengutuk pembunuhan itu, berlaku pada hari beliau dilantik, dengan kuasa tentera yang semakin meningkat.

Enam orang maut dan 10 cedera di selatan negeri Chiapas pada Selasa berhampiran sempadan Guatemala, selepas tentera melepaskan tembakan ke arah trak yang membawa 33 pendatang.

“Ia satu peristiwa yang dikesali dan ia mesti disiasat dan dihukum."

"Situasi seperti ini tidak boleh diulangi,” kata Sheinbaum dalam sidang media.

Pendakwa raya persekutuan Mexico telah mengenal pasti tiga daripada mangsa merupakan warga Mesir, Honduras dan seorang lagi dari Peru.

Sheinbaum menyatakan bahawa salah seorang pendatang yang maut adalah dari El Salvador.

27 lagi pendatang terdiri daripada warganegara Mesir, India, Pakistan, Nepal dan Cuba, menurut pendakwa raya.

Kesemua tentera yang terbabit dalam insiden itu berdepan siasatan, dengan beberapa agensi dilibatkan termasuk pakar hak asasi manusia, pegawai imigresen, kerajaan Guatemala dan Interpol.

Pendatang yang masih hidup, turut diambil keterangan selain mereka turut diberikan bantuan psikologi.

Kerajaan Peru turut mengecam pembunuhan itu dalam satu kenyataan pada Rabu dan menegaskan pihak berkuasa Mexico perlu menjalankan siasatan.

Krisis keselamatan telah berkembang di wilayah selatan Mexico yang bersempadan dengan Guatemala, apabila pertempuran wilayah antara kumpulan penjenayah membawa kepada peningkatan mendadak dalam keganasan sepanjang tahun lalu.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM