fb fb fb fb fb

Korea Utara akan guna senjata nuklear sekiranya diserang-Jong-Un

Presiden Korea Utara, Kim Jong-Un/Foto REUTERS

SEOUL,4 Oktober-Pemimpin Korea utara, Kim Jong-Un tanpa berselindung mendedahkan negara itu bersedia menggunakan senjata nuklear sekiranya negara itu diserang oleh Korea Selatan dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS), lapor media negara itu,KCNA pada Jumaat.

"Jika musuh cuba menggunakan kekuatan tentera terhadap Korea Utara, kami tidak akan teragak-agak untuk menggunakan semua kekuatan yang kami miliki, termasuk senjata nuklear," kata Kim Jong Un, menurut agensi berita KCNA.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan Jong-Un ketika mengunjungi pangkalan latihan Pasukan Khas di barat Pyongyang.

Ia susulan kenyataan yang dibuat Presiden Korea Selatan,Yoon Suk Yeol yang memberi amaran kepada Korea Utara bahawa negara itu bakal berdepan tindak balas dari Pakatan AS-Korea Selatan sekiranya masih berdegil untuk menggunakan senjata nuklear.

"Jika Korea Utara cuba menggunakan senjata nuklear, ia akan berhadapan dengan tindak balas dari tentera Pakatan AS-Korea Selatan," kata Yoon.

"Hari itu akan menjadi pengakhiran rejim Korea Utara," tambahnya, ketika bercakap kepada ribuan anggota tentera di Pangkalan Udara Seoul.

Kenyataan itu dibuat Yeol pada acara perbarisan tentera Korea Selatan minggu lepas.

Sebagai tindak balas, Kim menggelar Presiden Korea Selatan itu sebagai "boneka" dan "manusia yang tidak normal."

Kim juga menyindir Korea Selatan yang tidak mempunyai senjata nuklearnya sendiri sambil mengharapkan perlindungan dan bantuan Amerika Syarikat (AS).

Hubungan antara Korea Utara dan Korea Selatan berada pada titik terendah, apabila Korea Utara baru-baru ini mengumumkan penempatan 250 pelancar peluru berpandu balistik di sempadan negara berkenaan.

Korea Utara telah mengisytiharkan Korea Selatan sebagai "musuh utama" dan mendakwa dirinya sebagai kuasa nuklear yang "tidak boleh dibandingkan."

Terdahulu, Korea Utara, yang menjalankan ujian nuklear pertamanya pada tahun 2006, dikenakan sekatan oleh PBB kerana program senjata terlarangnya. Namun, ia terus mengembangkan pengeluaran senjata nuklear dengan sokongan daripada sekutunya, Rusia dan China.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD