fb fb fb fb fb

Taufan Krathon, Taiwan giat laksana operasi pembersihan

Foto Reuters

KAOHSIUNG, 4 Oktober- Selatan Taiwan pada Jumaat mula melaksanakan proses pembersihan selepas beberapa hari dibadai taufan Krathon.

Aktiviti perniagaan serta perkhidmatan beroperasi semula, selain pasaran kewangan dibuka semula.

Krathon, kini diturunkan kepada tahap ribut tropika, mendarat di bandar pelabuhan barat daya Kaohsiung.

Ketibaan ribut itu mengakibatkan jalan-jalan ditenggelami air, selain angin kencang yang menghempas tingkap di beberapa bangunan.

Kerajaan tempatan di Kaohsiung dan daerah Pingtung mengisytiharkan cuti tambahan sehari, bagi menjayakan proses pembersihan termasuk mengalihkan pokok tumbang, mengepam air banjir dan membuang sisa-sisa jalan raya.

Datuk Bandar Kaohsiung, Chen Chi-mai, berkata beberapa bahagian di bandar itu menerima taburan hujan lebih banyak berbanding semasa ribut terakhir, Taufan Gaemi, pada Julai.

“Memandangkan tempoh ribut yang panjang, ditambah pula dengan angin kencang dan hujan lebat, pihak berkuasa tempatan melakukan yang terbaik untuk membaiki kerosakan itu,” tulis Chi-mai di Facebooknya.

Menurut jabatan bomba, jumlah kematian kekal dengan dua mangsa, seorang hilang dan 667 cedera.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM