LA PAZ, 4 Oktober-Bekas Presiden Evo Morales, disiasat kerana didakwa merogol seorang remaja bawah umur ketika masih berkuasa, kata Menteri Kehakiman, Cesar Siles negara itu pada Khamis.
Remaja perempuan tersebut dilaporkan melahirkan seorang bayi perempuan selepas kejadian berkenaan yang dikatakan berlaku lapan tahun lalu, kata Siles.
"Kami telah melakukan pemerhatian terhadap jenayah serius yang cuba dibiarkan tanpa hukuman.
"Saya merujuk secara khusus kepada seorang gadis yang dirogol pada usia 15 atau 16 tahun," kata menteri itu dalam satu sidang media.
"Bapa yang tercatat dalam sijil kelahiran" anak tersebut adalah Morales, yang berusia 64 tahun, tambahnya.
Morales, yang menjawat jawatan presiden dari tahun 2006 hingga 2019, kini terjerat dalam satu lagi skandal, selepas seorang pendakwa raya mendakwa beliau dipecat kerana cuba menyiasat Morales berhubung penglibatannya dalam kes pemerdagangan manusia yang melibatkan seorang kanak-kanak.
Seorang hakim telah menggugurkan permohonan untuk menangkap Morales dan pendakwa raya yang mengemukakan permohonan itu, Sandra Gutierrez, berkata beliau kemudiannya dipecat.
Sementara itu, Morales menafikan tuduhan tersebut dan menganggapnya sebagai konspirasi bagi menjatuhkannya memandangkan konfliknya dengan kerajaan baharu Bolivia.
"Saya tidak terkejut atau bimbang. Semua kerajaan neo-liberal, termasuk kini, mengancam dan menganiaya saya,serta memenjarakan saya. Mereka cuba membunuh saya. Saya tidak takut! Mereka tidak akan mendiamkan saya", katanya di X.
Morales, seorang bekas penanam koko menjadi presiden pertama Bolivia berketurunan asli pada 2006.
Morales meraih populariti dalam kalangan rakyat negara itu.
Beliau kemudiannya mendakwa kemenangan dalam pilihan raya 2019 dicemari dengan tuduhan penipuan.
Namun, tetapi terpaksa meletakkan jawatan selepas kehilangan sokongan tentera dan kemudian bertindak melarikan diri dari negara tersebut.-AFP