WASHINGTON, 4 Oktober-Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata beliau tidak percaya akan berlakunya perang besar di rantau Asia Barat meskipun Israel ketika ini sedang mempertimbangkan pilihan bagi membalas kembali serangan Iran terhadap negara itu.
"Saya tidak percaya akan berlaku perang besar. Saya fikir kita boleh menghindarinya. Tetapi masih banyak yang perlu dilakukan", katanya ketika ditanya wartawan berhubung kemungkinan perang di Asia Barat dapat dielakkan.
Jelas Biden, banyak perkara perlu dilakukan bagi mengelak perang di rantau berkenaan susulan serangan udara baharu Israel terhadap Lubnan dan Hezbollah.
Sementara itu, Amerika Syarikat, dan Kesatuan Eropah telah meminta gencatan senjata selama 21 hari berhubung konflik Israel-Lubnan.
Namun Biden berkata AS sedang berbincang dengan Israel mengenai pilihan tindak balas terhadap serangan Iran termasuk menyerang kemudahan minyak Iran.
"Kami sedang membincangkannya," kata Biden kepada wartawan.
Komen Biden itu telah menyumbang kepada lonjakan harga minyak global, dan ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah menyebabkan pemain industri minyak bimbang tentang kemungkinan gangguan bekalan.
Rabu lalu, Presiden Biden berkata beliau tidak akan menyokong sebarang serangan Israel ke atas tapak nuklear Iran.
Pada Khamis, duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon, memberitahu CNN bahawa negara haram itu mempunyai "banyak pilihan" untuk membalas dan akan menunjukkan kekuatan mereka kepada Iran dengan "segera".-REUTERS