fb fb fb fb fb

Tentera Laut El Salvador rampas 1.4 tan dadah di Lautan Pasifik

Laksamana Madya Rene Merino/ REUTERS

SAN SALVADOR, 17 September - Tentera Laut El Salvador berjaya merampas sebanyak 1.4 tan dadah yang ditemukan terapung di Lautan Pasifik.

Menteri Pertahanan El Salvador, Laksamana Madya Rene Merino berkata, penemuan tersebut menunjukkan pengedar dadah berkemungkinan mendapat maklumat mengenai operasi tentera laut lalu meninggalkan penghantaran itu bagi mengelak daripada ditahan.

"Kami berjaya menghalang 1.4 tan dadah daripada sampai ke destinasi akhir dan menjejaskan masyarakat, khususnya di Amerika Syarikat. Rampasan ini menambah jumlah keseluruhan sebanyak 21.06 tan dadah yang berjaya dipintas di laut," katanya.

Menurut pihak berkuasa, dadah berkenaan ditemukan kira-kira 900 batu nautika ke barat daya Pulau El Cordoncillo minggu lalu.

Peguam Negara, Rodolfo Delgado memaklumkan rampasan itu sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap rangkaian pengedaran dadah antarabangsa.

"Dadah ini dirampas sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap rangkaian pengedaran transnasional yang mengancam kesihatan, keamanan dan keselamatan rantau ini.

"Setiap rampasan memberi tamparan hebat dari segi kewangan kepada penjenayah yang mendapat keuntungan daripada pengedaran dadah. Setiap dos yang disita adalah pukulan langsung terhadap pendapatan, operasi dan keupayaan mereka untuk merasuah institusi negara," katanya.

Kerajaan El Salvador menyatakan, nilai rampasan berkenaan dianggarkan sekitar AS$35 juta, sekali gus menjadikan jumlah dadah yang dirampas sepanjang tahun 2025 melebihi 21 tan di laut.

Sejak Presiden El Salvador Nayib Bukele mengambil alih pentadbiran, pihak berkuasa telah merampas lebih 71 tan dadah.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI