fb fb fb fb fb

AS batal pensijilan strategi antidadah Colombia

Ladang koka di Colombia/ REUTERS

WASHINGTON, 17 September - Amerika Syarikat (AS) secara rasmi membatalkan pensijilan terhadap strategi antidadah Colombia, dengan menuduh pentadbiran Presiden Colombia Gustavo Petro gagal mengekang penanaman koka dan pengeluaran kokain.

Keputusan itu diumumkan Presiden AS Donald Trump pada Isnin, sekali gus meletakkan Colombia dalam senarai negara yang 'gagal' memenuhi obligasi kawalan dadah antarabangsa — langkah yang berpotensi menjejaskan bantuan bernilai ratusan juta dolar dari Washington.

Di Colombia, pengumuman tersebut mencetuskan reaksi politik ketara di Bogota pada Selasa.

Ahli Kongres pembangkang, Andres Forero, menyalahkan kecenderungan ideologi Petro terhadap Venezuela serta sikap lunaknya terhadap kumpulan bersenjata, sambil menggesa kerajaan mengubah haluan demi menjaga hubungan strategik dengan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Armando Benedetti menolak keputusan tersebut sebagai "bermotifkan politik", dengan menegaskan bahawa Colombia menunjukkan pencapaian kukuh termasuk rampasan lebih 700 tan kokain tahun ini.

Beliau turut mengkritik metrik Amerika Syarikat yang lebih mengutamakan pemusnahan paksa berbanding strategi pilihan Petro iaitu penggantian tanaman secara sukarela.

Pembatalan pensijilan itu meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Petro yang sebelum ini berjanji menumpukan kepada perjanjian damai dan pembangunan luar bandar.

Namun, pengkritik berpendapat dasar itu masih gagal membuahkan hasil, malah pengeluaran koka kini mencapai paras tertinggi dalam sejarah.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI