BRASILIA, 16 September - Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, dimasukkan ke hospital pada Selasa dengan simptom termasuk kontraksi otot diafragma, muntah dan tekanan darah rendah.
Menurut anaknya, Senator Flavio Bolsonaro, Bolsonaro akan berada di hospital untuk pemantauan lanjut.
"Hari ini keadaannya lebih drastik, kontraksi otot diafragma menjadi lebih teruk. Pada satu ketika, dia mengalami muntah sehingga hampir 10 saat tidak bernafas.
"Mujur isterinya, Michele, berada berdekatan dan segera membawanya ke hospital. Dia kini stabil, namun kelihatan tidak begitu baik dan agak mengalami dehidrasi," kata Flavio kepada pemberita di luar fasiliti perubatan di Brasilia.
Kemasukan ke hospital itu berlaku hanya beberapa hari selepas Bolsonaro menjalani pemeriksaan dan prosedur membuang ketumbuhan pada bahagian kulitnya di hospital sama pada Ahad lalu.
Beberapa kenderaan polis turut ditempatkan di luar hospital ketika media berkumpul bagi membuat liputan perkembangan tersebut.
"Anda tidak perlu jadi doktor untuk melihat bahawa banyak yang dialami sekarang adalah bersifat psikologi, kesan daripada keletihan dan tekanan harian yang berterusan dengan semua orang membicarakan tentang dirinya," katanya lagi.
Kecemasan perubatan itu berlaku kurang seminggu selepas Mahkamah Agung Brazil menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun terhadap Bolsonaro kerana didapati bersalah merancang rampasan kuasa.
Bolsonaro sebelum ini mengalami komplikasi usus berulang sejak ditikam ketika kempen pilihan raya pada 2018, yang memerlukan beberapa pembedahan.
Beliau kini berada dalam tahanan rumah sejak Ogos lalu atas dakwaan cuba mendapatkan tekanan politik terhadap mahkamah melalui Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.- REUTERS