QUITO, 16 September - Polis Ecuador menggunakan gas pemedih mata dan taktik kawalan rusuhan pada Selasa bagi menyuraikan penunjuk perasaan di sini yang membantah keputusan kerajaan memansuhkan subsidi diesel.
Pertembungan tercetus apabila penunjuk perasaan membaling objek ke arah polis rusuhan, yang kemudian bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata serta mara ke arah kumpulan demonstran.
Di pinggir Quito, penunjuk perasaan bertindak menyekat lebuh raya dengan batu, timbunan tanah dan penghadang api. Pasukan polis serta tentera dikerahkan untuk membersihkan halangan itu, termasuk menggunakan jentolak bagi mengalih sisa yang menghalang jalan.
Protes berkenaan berpunca daripada keputusan kerajaan minggu lalu untuk memansuhkan subsidi diesel bernilai AS$1.1 bilion yang digunakan sektor pengangkutan berat, kenderaan penumpang dan pertanian.
Pemansuhan itu menyaksikan harga diesel meningkat daripada AS$1.80 kepada AS$2.80 segelen, mencetuskan bantahan meluas kerana didakwa akan meningkatkan kos sara hidup.
Presiden Ecuador Daniel Noboa pada Selasa mengisytiharkan darurat selama 60 hari di tujuh wilayah terjejas.
Perintah itu menggantung kebebasan berhimpun di kawasan terbabit serta memberi kuasa kepada polis dan tentera untuk "menghalang serta membubarkan perhimpunan awam yang dikenal pasti mengancam keselamatan rakyat."- REUTERS