BULACAN, 17 September - Penduduk di Pulau Pugad, Filipina perlu bersiap siaga susulan paras air di kawasan Teluk Manila itu semakin meningkat hingga menyebabkan banjir sekali gus mengganggu aktiviti harian.
Tidak terkecuali peniaga makanan jalanan Maria Tamayo, 65 tahun, terpaksa mengaut air laut yang membanjiri rumahnya dengan menggunakan penyodok plastik kecil.
Rutin itu menjadi kebiasaan sejak paras air itu semakin meningkat, menenggelamkan Pulau Pugad yang berkeluasan hanya tujuh hektar dan kini berisiko hilang sepenuhnya di bawah air.
"Kerja mengaut air mengambil masa lama, sebab itu kaki saya mula sakit. Saya perlu keluarkan air sebelum cucu bangun, jika tidak mereka akan tergelincir di lantai. Tetapi tidak ada gunanya … air tetap ada," katanya.
Tamayo merupakan antara 2,500 penduduk yang tinggal di satu-satunya kampung di pulau itu.
Pulau Pugad bukan satu-satunya kawasan berisiko di pesisir Bulacan. Sebahagian wilayah itu sedang tenggelam pada kadar hampir 11 sentimeter setahun — kadar terpantas di Filipina — menurut kajian diketuai ahli geologi, Mahar Lagmay.
Fenomena penurunan tanah atau land subsidence itu dianggap "membimbangkan" kerana berpunca daripada pengambilan air bawah tanah secara berlebihan, selain diperburuk dengan kenaikan paras laut akibat pemanasan global, jelas Lagmay.
"Kadar penurunan tanah di Pulau Pugad agak tinggi," katanya sambil menambah walaupun kajian khusus di pulau kecil itu masih terhad, data kawasan sekitarnya sudah memberi gambaran jelas.
Dengan air pasang yang membanjiri jalan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, kehidupan seharian penduduk kini ditentukan paras air laut.
Jadual persekolahan kanak-kanak terpaksa disesuaikan setiap hari mengikut jadual pasang surut bagi mengelak mereka dijangkiti penyakit bawaan banjir.
Penduduk juga meninggikan rumah dengan tiang untuk memastikan lantai kering, manakala peniaga kecil meletakkan barangan jualan di atas meja tinggi bagi mengelak air keruh yang boleh meningkat sehingga 1.5 meter ketika banjir besar.- AFP