GURDASPUR, 17 September - Kawasan terjejas banjir di Punjab terutamanya sawah padi yang dulunya menghijau kini bertukar coklat layu, selain bau busuk tanaman serta ternakan yang reput – kesan selepas hujan monsun melanda wilayah pengeluar utama makanan India.
Punjab, yang diberi jolokan 'jelapang padi' negara itu terjejas teruk apabila banjir menenggelamkan kawasan pertanian hampir menyamai keluasan gabungan London dan New York City.
Menteri Pertanian India ketika melawat negeri tersebut baru-baru ini mengakui bahawa "tanaman telah musnah dan rosak," manakala Ketua Menteri Punjab menyifatkan bencana itu sebagai "antara banjir terburuk dalam beberapa dekad."
"Kali terakhir kami menyaksikan banjir sebesar ini ialah pada tahun 1988," kata Balkar Singh, 70 tahun, dari kampung Shehzada, 30 kilometer di utara bandar Sikh, Amritsar.
Aliran air deras bukan sahaja menukar sawah padi Singh menjadi tanah paya, malah menyebabkan retakan besar pada dinding rumahnya.
Banjir dan tanah runtuh sememangnya lazim sepanjang musim monsun Jun hingga September di benua kecil India, namun pakar memberi amaran perubahan iklim serta pembangunan yang tidak terancang meningkatkan kekerapan, kemusnahan dan impaknya.
Jabatan Meteorologi India melaporkan, kadar hujan di Punjab pada Ogos melonjak hampir dua pertiga berbanding purata, menyebabkan sekurang-kurangnya 52 maut dan lebih 400,000 orang terjejas.
Perdana Menteri India Narendra Modi telah mengumumkan pakej bantuan bernilai kira-kira AS$180 juta untuk negeri berkenaan.- AFP