fb fb fb fb fb

Pemimpin Gereja Penyatuan Korea Selatan disiasat dakwaan rasuah

Han Hak-ja, hadir untuk sesi soal siasat berhubung dakwaan terbabit kes rasuah melibatkan isteri bekas Presiden Korea Selatan yang digulingkan, Yoon Suk Yeol/ REUTERS

SEOUL, 17 September - Pemimpin Gereja Penyatuan Korea Selatan, Han Hak-ja, hadir untuk sesi soal siasat bersama pendakwa raya pada Rabu berhubung dakwaan terbabit dalam kes rasuah melibatkan isteri bekas Presiden yang digulingkan, Yoon Suk Yeol.

Han bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan mengenai dakwaan tersebut ketika tiba di pejabat pendakwa khas.

Han, yang digelar 'Ibu Sejati' oleh pengikutnya, merupakan balu kepada pengasas Gereja Penyatuan, Moon Sun-myung, yang meninggal dunia pada 2012.

Pendakwa khas sebelum ini telah mendakwa bekas Wanita Pertama, Kim Keon Hee, atas tuduhan rasuah dan beberapa kesalahan lain dalam siasatan meluas terhadap salah laku beliau sebelum dan semasa tempoh Yoon menjadi Presiden Korea Selatan. Kim kini dipenjarakan sebagai sebahagian daripada siasatan itu.

Yoon sendiri turut ditahan dan sedang dibicarakan atas tuduhan insurksi yang dikemukakan seorang lagi pendakwa khas, berkaitan usaha gagal beliau mengisytiharkan darurat tentera pada Disember tahun lalu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI