fb fb fb fb fb

Perubahan iklim punca 16,500 kematian musim panas di Eropah

Foto AFP

PARIS, 17 September - Suhu tinggi akibat perubahan iklim berpunca daripada aktiviti manusia dianggarkan mengorbankan kira-kira 16,500 nyawa di bandar-bandar utama Eropah pada musim panas tahun ini, menurut satu kajian pantas yang diumumkan pada Rabu.

Kajian tersebut menggunakan kaedah pemodelan berasaskan data terdahulu bagi menganggarkan kesan gelombang haba tanpa perlu menunggu laporan rasmi biasanya mengambil masa berbulan atau bertahun untuk diterbitkan.

Penyelidik menjelaskan, angka kematian semasa gelombang haba sering kali direkodkan lebih rendah kerana punca kematian di hospital lazimnya dikaitkan dengan serangan jantung, masalah pernafasan atau penyakit lain yang mudah menjejaskan warga emas ketika suhu melonjak.

Bagi mendapatkan gambaran segera, sekumpulan saintis berpangkalan di United Kingdom menggunakan pemodelan iklim dan mendapati suhu purata meningkat 2.2 darjah Celsius lebih tinggi di 854 bandar Eropah antara Jun hingga Ogos berbanding purata normal.

Berdasarkan data sejarah yang menunjukkan peningkatan suhu ekstrem boleh melonjakkan kadar kematian, penyelidik menganggarkan sebanyak 24,400 kematian berlebihan berlaku sepanjang tempoh tersebut.

Daripada jumlah itu, hampir 70 peratus iaitu sekitar 16,500 kematian dikenal pasti berpunca daripada pemanasan global akibat pembakaran bahan api fosil oleh manusia, menurut kajian oleh saintis Imperial College London dan pakar epidemiologi dari London School of Hygiene & Tropical Medicine.

Kajian berkenaan turut menyimpulkan perubahan iklim boleh menggandakan sehingga tiga kali ganda kadar kematian akibat haba pada musim panas kali ini.

Sebelum ini, pasukan sama pernah menggunakan kaedah serupa bagi menilai gelombang haba tunggal yang melanda Eropah pada akhir Jun lalu dengan dapatan yang hampir sama.

Bagaimanapun, penyelidik menjelaskan, mereka tidak dapat membuat perbandingan dengan angka rasmi kematian berlebihan di Eropah kerana kebanyakan negara mengambil masa lama untuk menerbitkan data tersebut.

"Adalah mustahil untuk mendapatkan statistik sebenar dalam masa nyata buat masa ini, namun anggaran kami berada dalam lingkungan yang tepat," kata pengarang bersama kajian, Friederike Otto dalam sidang media.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI