XINJIANG, 17 September - Sebuah loji janakuasa solar terma berkapasiti 50 megawatt di Wilayah Autonomi Xinjiang Uygur, barat laut China, menjadi model peralihan tenaga dengan menyediakan bekalan kuasa stabil serta peluang pekerjaan dan latihan kepada penduduk sekitar.
Loji itu merupakan projek solar terma pertama di Xinjiang yang dibangunkan bawah Projek Hami Concentrating Solar Power (CSP), iaitu antara generasi awal projek demonstrasi solar terma negara itu.
Kemudahan luas itu terletak di Gurun Gobi, Hami, Xinjiang, berhampiran Tasik Naomao, dengan menara garam cair setinggi 220 meter yang berfungsi sebagai pusat penjanaan tenaga.
Ia dikelilingi 14,500 heliostat yang memantulkan cahaya matahari ke arah menara utama untuk memanaskan garam cair, sekali gus menghasilkan dan menyimpan tenaga.
Pengarah Jabatan Operasi Projek, Feng Xiaoheng berkata, loji tersebut menjadi penanda aras baharu pembangunan tenaga boleh baharu di wilayah itu.
"Projek CSP Hami adalah projek pertama yang direka bentuk, dibina dan dikendalikan sepenuhnya oleh China Energy Engineering Group Co., Ltd (CEEC). Ia juga tersenarai dalam kumpulan pertama projek demonstrasi CSP negara, dan kini menjadi salah satu daripada tujuh projek yang beroperasi.
"Tahun ini sahaja, penjanaan tenaga harian mencecah 1.12 juta kWh, cukup untuk memenuhi permintaan elektrik kira-kira 200,000 isi rumah berdasarkan penggunaan harian lima hingga enam kWh setiap rumah," katanya.
Beliau menjelaskan, projek tersebut bukan sahaja menandakan kejayaan besar dalam penjanaan tenaga, malah memainkan peranan penting sebagai pusat latihan dan pembangunan tenaga kerja, sekali gus mempercepatkan pembinaan lebih banyak projek serupa di seluruh Xinjiang.
"Projek ini berperanan sebagai mercu tanda tenaga di Xinjiang dan platform bagi industri peralatan domestik mengumpul pengalaman. Ia juga menggalakkan pengeluar peralatan CSP meneruskan penyelidikan dan pembangunan.
"Kini, projek baharu CSP mencapai kadar penyetempatan sehingga 80 peratus. Selain menjana tenaga, loji ini juga menjadi pusat latihan untuk melahirkan tenaga pakar dalam industri CSP," jelas Feng.
Feng yang berasal dari Wilayah Henan dan telah menetap di Xinjiang sejak 2004 menegaskan projek itu membuka lebih banyak peluang, selain mengukuhkan daya tarikan industri tenaga hijau di wilayah tersebut.- REUTERS