MOSCOW, 17 September - Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan pasukannya meneruskan serangan terhadap tentera Ukraine di beberapa arah pada Selasa, sementara Ukraine melancarkan serangan ke atas sebuah loji penapisan minyak Rusia di Saratov.
Dalam taklimat terbaharu, kementerian itu memaklumkan angkatan tentera Rusia melancarkan serangan dalam tempoh 24 jam lalu di wilayah Sumy, Kharkiv, Donetsk dan Zaporizhzhia.
Tentera Rusia turut menyasarkan depot bahan api, hab logistik yang menempatkan senjata dibekalkan Barat, selain lokasi penyimpanan dan pelancaran dron jarak jauh milik tentera Ukraine.
Sementara itu, Ketua Turus Angkatan Tentera Ukraine memaklumkan serangan itu menyasarkan loji penapisan minyak Saratov di barat daya Rusia.
Letupan dan kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan, namun tahap kerosakan masih dalam penilaian.
Menurut tentera Ukraine, loji itu membekalkan produk petroleum kepada pasukan Rusia.
Loji penapisan Saratov, memproses 4.8 juta tan minyak pada tahun 2023, menghasilkan lebih 20 jenis produk petroleum termasuk petrol dan diesel.- REUTERS