COLOMBO, 17 September - Sri Lanka akan melarang empat spesies ikan hiasan pemangsa termasuk Piranha yang dilaporkan telah terlepas ke sungai dan tasik sehingga menjejaskan spesies ikan tempatan serta mengancam ekosistem air tawar.
Menteri Perikanan Sri Lanka Ramalingam Chandrasekar berkata, larangan itu bertujuan melindungi sumber perairan tempatan daripada ancaman spesies invasif sekali gus menjaga kelangsungan hidup para nelayan tempatan.
Menurut kenyataan kementerian itu, bermula Sabtu ini, aktiviti import, penjualan dan pengangkutan ikan toman (redline snakehead), ikan pisau (knife fish), ikan buaya (alligator gar) serta pirana yang diimport dari Asia Tenggara akan diharamkan sepenuhnya.
Difahamkan, spesies Snakehead mampu membesar sehingga satu meter kini membiak dengan cepat di sebuah tasik di barat laut negara itu dan mengancam spesies ikan tempatan.
Pihak berkuasa percaya ikan tersebut dilepaskan oleh pemilik yang tidak lagi mampu menjaganya ke dalam Tasik Deduru Oya.
Bagi mengawal populasi, kementerian turut menganjurkan pertandingan memancing Snakehead yang akan berlangsung serentak dengan penguatkuasaan larangan itu pada Sabtu.
Masyarakat tempatan bagaimanapun tidak biasa menjadikan Snakehead sebagai makanan kerana sifatnya yang agresif, memburu ikan kecil serta amfibia sekali gus mengganggu keseimbangan ekologi.
Kementerian Perikanan turut menyeru pemilik yang memelihara empat spesies berkenaan supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa dan menyerahkan ikan tersebut untuk ditempatkan di akuarium milik kerajaan.- AFP