fb fb fb fb fb

John Lee umum dasar baharu perkukuh ekonomi, tingkat taraf hidup rakyat Hong Kong

John Lee Ka-chiu/ REUTERS

HONG KONG, 17 September - Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee Ka-chiu, dalam ucapan dasar keempatnya berjanji untuk memperkukuh ekonomi pusat kewangan itu, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan peranan Hong Kong sebagai hab antarabangsa dengan mengumumkan beberapa langkah baharu termasuk pembangunan pasaran dagangan emas.

Unjuran pertumbuhan ekonomi Hong Kong juga dikekalkan antara dua hingga tiga peratus pada 2025, selain menegaskan pihak berkuasa akan memperkukuh platform bagi syarikat dari tanah besar China yang ingin mengembangkan operasi ke luar negara.

Menurut Lee, matlamat utama pemerintahannya adalah untuk memperbaiki taraf hidup rakyat dengan menyediakan perumahan lebih baik, pendapatan lebih tinggi kepada pekerja, penjagaan warga emas lebih menyeluruh serta prospek lebih cerah untuk golongan muda.

Beliau menegaskan, kesejahteraan rakyat berkait rapat dengan kesihatan ekonomi negara. Pertumbuhan ekonomi akan mewujudkan peluang pekerjaan serta menjana kekayaan yang membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak sumber bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Dalam ucapannya, Lee turut mengumumkan kerajaan akan mempercepat pembangunan projek Northern Metropolis yang dijangka mampu menyediakan kediaman untuk sekitar 2.5 juta orang serta mewujudkan kawasan perniagaan baharu berhampiran sempadan dengan tanah besar China.

Bagi tujuan itu, beliau akan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Northern Metropolis bawah pimpinannya untuk merangka model operasi, mempercepat pembangunan University Town, melonggarkan prosedur pentadbiran, memperkenalkan kaedah pembinaan lebih selamat dan kos efektif, selain menggubal undang-undang khusus bagi mempercepatkan projek berkenaan.

Lee menambah, peluang baharu untuk Hong Kong akan datang daripada usaha membantu syarikat tanah besar China mengembangkan perniagaan ke luar negara sejajar dengan perubahan landskap perdagangan global.

Hong Kong akan memanfaatkan kekuatannya sebagai platform 'go global' dengan kelebihan dalam bidang kewangan, perdagangan, perkhidmatan profesional, pengurusan rantaian bekalan dan rangkaian perniagaan untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan.

Langkah itu juga dilihat mampu mengukuhkan lagi peranan Hong Kong sebagai pusat antarabangsa dan merancakkan ekonomi ibu pejabat bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI