KATHMANDU, 17 September - Nepal mengibarkan bendera separuh tiang pada Rabu sempena hari berkabung bagi memperingati 73 mangsa yang terkorban dalam protes antirasuah yang digerakkan golongan belia sehingga menggulingkan kerajaan.
Kerajaan sementara yang mengambil alih pentadbiran selepas dua hari protes minggu lalu mengisytiharkan hari berkabung "bagi menghormati mereka yang terkorban dalam protes," menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Protes bermula 8 September lalu susulan penguatkuasaan larangan singkat penggunaan media sosial, namun kemarahan rakyat memuncak akibat isu rasuah dan masalah ekonomi berpanjangan.
Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam tindakan keras pihak berkuasa pada hari pertama, sekali gus mencetuskan gelombang kemarahan rakyat di seluruh negara. Bangunan kerajaan, sebuah hotel serta beberapa premis lain dilaporkan dibakar.
"Hari ini perubahan yang kita saksikan tidak akan berlaku tanpa keberanian dan pengorbanan mereka yang telah gugur dalam protes," kata pertubuhan Hami Nepal, yang menjadi antara penganjur utama demonstrasi, menerusi hantaran di media sosial.
Perdana Menteri interim Nepal Sushila Karki, 73 tahun, diberi mandat untuk memulihkan ketenteraman serta memenuhi tuntutan rakyat bagi masa depan tanpa rasuah menjelang pilihan raya enam bulan lagi.
Karki turut mengisytiharkan semua mangsa sebagai wira negara dan berjanji mereka akan diberi penghormatan penuh negara ketika upacara pembakaran mayat.
"Hari berkabung ini menyatukan kita semua. Semua orang sedih dengan kehilangan nyawa – kebanyakannya golongan muda seperti kami," kata seorang peniaga, Pooja Shrestha, 22 tahun.
Menurut Bank Dunia, satu perlima daripada penduduk Nepal berusia 15 hingga 24 tahun menganggur, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita hanya sekitar AS$1,447.
Jurucakap polis, Binod Kharel, mengesahkan jumlah korban meningkat kepada 73 orang termasuk anggota polis serta banduan yang terbunuh ketika kejadian rusuhan dan pelarian beramai-ramai dari penjara.
Beliau berkata lebih sepertiga daripada 13,500 banduan yang melarikan diri dari lebih 20 penjara telah berjaya ditahan semula atau menyerah diri secara sukarela.
"Setakat ini kira-kira 5,000 banduan yang melarikan diri telah kembali ke penjara, ramai antaranya secara sukarela," jelasnya.- AFP
