BEIJING, 30 April- Tentera Laut China menjalankan rondaan di Laut China Selatan pada Selasa, sambil menuduh Filipina mencetuskan gangguan serta melaksanakan rondaan bersama negara luar.
Ketegangan antara China dan Filipina semakin memuncak berikutan pertikaian kedaulatan di perairan yang menjadi rebutan itu, di mana China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan.
Lebih 14,000 anggota tentera dari Filipina dan Amerika Syarikat kini terlibat dalam latihan ketenteraan bersama dari 21 April hingga 9 Mei.
Latihan yang digambarkan sebagai ujian medan tempur penuh bagi menangani kebimbangan keselamatan serantau.
China sebelum ini menyifatkan latihan tersebut sebagai satu tindakan provokatif.
Dalam kenyataan pada lewat Selasa, Komando Teater Selatan Tentera Pembebasan Rakyat China menyatakan bahawa angkatan tenteranya telah melaksanakan rondaan “rutin” di perairan itu, namun tidak menyatakan lokasi tepat.
“Kebelakangan ini, Filipina kerap melakukan provokasi pencerobohan maritim, mencetuskan kekacauan serta melibatkan negara luar untuk melaksanakan apa yang disebut sebagai ‘rondaan bersama’,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, angkatan tentera laut dan udara China terus memantau situasi serta mengekalkan tahap kesiapsiagaan tinggi.
“Angkatan tentera dalam kawasan operasi berada dalam keadaan berjaga-jaga, mempertahankan kedaulatan wilayah dan hak maritim negara dengan tegas, serta memastikan keamanan dan kestabilan di wilayah Laut China Selatan," tambah kenyataan itu.
Kedutaan Filipina di Beijing masih belum memberikan sebarang maklum balas berhubung kenyataan tersebut.- REUTERS