fb fb fb fb fb

Tentera Israel beri amaran serangan berterusan sepanjang 2024

Operasi ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza /FOTO AFP

BAITULMAQDIS, 2 Januari - Tentera Israel memberi amaran kepada pejuang Hamas bahawa serangan mereka akan berterusan sepanjang 2024.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) , Daniel Hagari menjangkakan pertempuran akan berterusan sepanjang tahun dan sedang menyesuaikan kaedah pertempuran untuk perang yang berterusan.

Katanya, tentera Israel sedang membuat pelarasan terhadap penempatannya di Semenanjung Gaza kerana ia menjangkakan perang yang panjang terhadap kumpulan pejuang Hamas.

“Kami sedang menyesuaikan kaedah pertempuran ke setiap kawasan di Gaza, serta pasukan yang diperlukan untuk melaksanakan misi itu dengan cara yang terbaik. Setiap kawasan mempunyai ciri yang berbeza dan keperluan operasi yang berbeza,” katanya.

“Matlamat perang memerlukan pertempuran yang panjang, dan kami bersedia dengan sewajarnya,” kata Hagari.

Serangan darat, laut dan udara Israel ke atas Gaza setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 21,828 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza kebanyakan mangsa korban dalam jenayah perang itu adalah wanita dan kanak-kanak.

Hagari berkata sebahagian daripada 300,000 anggota simpanan tentera akan berehat daripada konflik itu.

Sementara itu, Israel berusaha meningkatkan ekonomi mereka sejak tercetusnya perang itu pada 7 Oktober tahun lalu.

"Sebahagian daripada tentera simpanan akan kembali kepada keluarga mereka masing-masing dan membolehkan mereka mengumpul kekuatan untuk rancangan akan datang kerana peperangan akan berterusan dan mereka masih diperlukan," katanya. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN