fb fb fb fb fb

Tedros harap AS pertimbang semula keputusan untuk keluar WHO

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus/foto AFP

GENEVA, 12 Disember 2025 – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyatakan harapan agar pentadbiran Amerika Syarikat akan menimbang semula keputusan untuk menarik diri daripada organisasi itu bulan depan.

Beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai satu kerugian besar kepada dunia.

“Ada perkara yang hanya boleh diperoleh di WHO dan tiada di tempat lain. Ketiadaan AS adalah situasi kalah-kalah, mereka akan rugi, dan dunia juga akan rugi,” kata Tedros ketika ditanya wartawan mengenai penarikan diri AS dari WHO.

Tedros menegaskan bahawa kritikan AS tidak berasas, dan WHO telah pun mengambil tindakan termasuk reformasi penjimatan kos. Mengenai tuduhan salah urus semasa pandemik COVID-19, beliau berkata pengajaran telah dipelajari.

Beliau turut bersetuju bahawa AS, yang selama bertahun-tahun merupakan penyumbang terbesar organisasi itu, perlu kecilkan dana bagi mengurangkan kebergantungan pada satu penderma.

"Walaupun pentadbiran Trump pernah mengarahkan pegawai kesihatan AS menghentikan komunikasi dengan WHO, pihak AS tetap mendapatkan maklumat daripada organisasi tersebut dan permintaan mereka telah dipenuhi, " tegas Tedros.

Presiden AS, Donald Trump, menandatangani perintah penarikan diri itu sebagai salah satu tindakan awal beliau selepas menjawat jawatan, dengan alasan bahawa WHO telah menguruskan pandemik COVID-19 dengan buruk dan terlalu rapat dengan China. Penarikan diri itu dijadualkan berkuat kuasa pada 22 Januari 2026.

Keputusan tersebut menimbulkan kebimbangan mengenai kerjasama global dalam menangani wabak masa hadapan, yang biasanya dikoordinasikan WHO melalui rangkaian Peraturan Kesihatan Antarabangsa.-REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI