fb fb fb fb fb

Enam cedera akibat letupan besar di Hayward, California

Letupan dipercayai berpunca daripada saluran gas bawah tanah yang rosak/foto REUTERS

CALIFORNIA, 11 Disember – Satu letupan besar menggegarkan kawasan Hayward pada Khamis, mencederakan sekurang-kurangnya enam orang dan memusnahkan kediaman dan bengkel.

Menurut laporan beberapa media tempatan, letupan dipercayai berpunca daripada saluran gas bawah tanah yang rosak.

Timbalan Ketua Jabatan Bomba Alameda County, Ryan Nishimoto, berkata kedua-dua bangunan tersebut mengalami kerosakan teruk, anggota bomba bertungkus lumu memadam sisa-sisa kebakaran serta menggeledah runtuhan untuk mencari mangsa.

“Apa yang kami dapati setakat ini ialah dua bangunan telah rosak teruk. Satu lagi bangunan bersebelahan turut mengalami kerosakan kecil pada bahagian yang menghadap lokasi letupan atau kebakaran.

"Setakat ini pihak bomba telah menemukan seramai enam mangsa. Semua mereka telah dibawa ke hospital dan status mereka masih belum diketahui. Buat masa ini, kami cuba memadam api yang masih tinggal, dan kami akan membuat pencarian semula untuk memastikan tiada sesiapa yang terlepas pandang,” katanya.

Menurut Nishimoto, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9:38 pagi (waktu tempatan) dan segera dikerahkan ke lokasi.

Imej udara menunjukkan kereta yang rosak teruk, sisa api kecil yang masih menyala, serta bangunan yang musnah teruk. Anggota bomba dilihat mengalihkan serpihan besar yang menghempap kenderaan serta memasuki kawasan yang ranap untuk pencarian lanjut.

Kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital berdekatan dan keadaan mereka sedang dinilai.-REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI