WASHINGTON, 12 Disember – Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan baharu ke atas Venezuela, menyasarkan tiga anak saudara isteri Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, serta enam kapal tangki minyak dan syarikat penghantaran yang berkaitan dengan mereka.
Tindakan ini dilakukan ketika AS sedang melaksanakan pembangunan ketenteraan berskala besar di Caribbean selatan, dan Presiden AS, Donald Trump, terus menggesa penyingkiran Maduro.
Menurut kenyataan Jabatan Perbendaharaan AS, sekatan dikenakan ke atas enam syarikat penghantaran yang mengendalikan minyak Venezuela, serta enam kapal tangki minyak yang dikaitkan dengan syarikat tersebut.
"Empat daripada kapal tangki itu, termasuk H. Constance (2002) dan Lattafa (2003) berdaftar di Panama, manakala dua lagi masing-masing berdaftar di Cook Islands dan Hong Kong. Kapal-kapal tersebut merupakan supertanker yang baru memuatkan minyak mentah di Venezuela, " menurut dokumen dalaman syarikat minyak negara PDVSA.
"Sekatan turut menyasarkan Franqui Flores dan Efrain Antonio Campo Flores, anak saudara Cilia Flores, isteri Presiden Maduro, yang digelar sebagai “narco nephews” selepas ditangkap di Haiti pada 2015 dalam operasi DEA AS. Mereka disabitkan kesalahan pada 2016 kerana cuba melaksanakan perjanjian kokain bernilai jutaan dolar dan dihukum 18 tahun penjara, sebelum dibebaskan pada 2022 melalui pertukaran penjara dengan Venezuela, " tambah kenyataan itu.
Kementerian Komunikasi Venezuela belum memberikan sebarang maklum balas mengenai sekatan baharu ini.
Pada Rabu,Trump mengumumkan bahawa AS telah merampas sebuah kapal tangki minyak yang disekat berdekatan pantai Venezuela.
Rampasan kapal minyak itu merupakan yang pertama di bawah sekatan AS sejak 2019, dan merupakan tindakan pertama pentadbiran Trump ke atas kapal tangki berkaitan Venezuela sejak beliau memerintahkan peningkatan ketenteraan besar di rantau tersebut.
Trump berulang kali menyuarakan kemungkinan campur tangan ketenteraan di Venezuela, dengan alasan negara itu menghantar narkotik ke AS. Sebelum ini, AS telah melaksanakan lebih 20 serangan terhadap kapal-kapal yang disyaki membawa dadah, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penggubal undang-undang dan pakar undang-undang antarabangsa.-REUTERS