fb fb fb fb fb

"Mereka sangat baik kepada kami" - Tebusan Hamas

Yocheved Lifshitz, 85, dibebaskan pejuang Hamas pada Isnin lalu/Reuters

TEL AVIV, 25 Oktober- Seorang tebusan warga emas Israel yang dibebaskan oleh pejuang Hamas mengakui dirinya diberi layanan terbaik sepanjang penahanannya selama dua minggu.

Yocheved Lifshitz, 85, adalah salah seorang daripada dua wanita yang dibebaskan pada lewat Isnin lalu.

Lifshitz turut memberitahu bahawa Hamas melayan mereka dengan lembut serta menyediakan semua keperluan termasuk ubat-ubatan.

“Mereka sangat baik kepada kami dan memastikan kami bersih dan diberi makan.

"Kami makan makanan yang sama seperti mereka (Hamas) makan, roti pitta dengan keju dan timun, itu adalah hidangan kami sepanjang hari," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Tambah wanita itu, dia juga dirawat dengan baik dan diperiksa oleh doktor secara berkala agar kekal sihat.

"Kami berbaring di atas tilam. Mereka sangat mementingkan kebersihan. Kami mempunyai doktor yang datang setiap dua atau tiga hari untuk memeriksa kami.

"Paramedik membawa ubat dan jika ubat yang sama tidak cukup, mereka akan membawa ubat yang serupa tidak lama kemudian," ujarnya lagi.

Terdahulu, pejuang Hamas berkongsi video pembebasan dua orang tebusan iaitu Nurit Cooper dan Yocheved Lifshitz atas alasan kemanusiaan serta kesihatan.

Menerusi video terbabit, tebusan berkenaan dilihat dipimpin oleh pejuang Hamas termasuk diberi makan dan minum serta bersalaman sebelum dibebaskan. - Reuters

SITI AISHAH BINTI MD ISA