fb fb fb fb fb

Taufan Zelia kategori lima bawa kelajuan angin hingga 290 km

Kawasan Port Hedland, Australia/ Reuters

SYDNEY, 14 Februari- Taufan Zelia kategori lima menghampiri pantai barat laut Australia Barat dengan angin ribut diramalkan hingga 290 kilometer (km) sejam sekali gus mencetuskan amaran kecemasan dan penutupan pelabuhan.

Peramal melaporkan taufan tropika itu bergerak perlahan ke arah Port Hedland (salah satu pelabuhan pemunggahan bijih besi tersibuk di dunia) pada sebelah petang.

"Taufan berkenaan membawa kelajuan angin hingga 290 kilometer sejam (180 batu sejam) berkemungkinan dekat dengan pusat taufan ketika ia melintasi pantai," kata Biro Meteorologi Australia.

Amaran turut dikeluarkan kepada penduduk berkenaan kemungkinan gelombang akan berlaku ribut berbahaya apabila taufan itu melanda.

"Air pasang berkemungkinan meningkat dengan ketara melebihi paras air pasang biasa dengan ombak besar dan banjir di beberapa kawasan rendah berhampiran dengan pantai," katanya.

Pelabuhan Pilbara telah menutup operasi di pusat eksport mineral utama Port Hedland dan Port Dampier serta pelabuhan perkapalan minyak dan gas Pulau Varanus.

Sementara itu perkhidmatan kecemasan di Australia Barat mengeluarkan amaran kepada orang ramai untuk terus berada di kawasan selamat dan tidak melakukan aktiviti di kawasan laluan taufan.

Menurut Biro Meteorologi pantai barat laut Australia Barat merupakan kawasan paling terdedah kepada taufan di negara itu.

Rantau itu mempunyai simpanan bijih besi, tembaga, emas dan merupakan kawasan untuk beberapa operasi perlombongan terbesar di Australia.

Kumpulan perlombongan Rio Tinto berkata kapal dan kereta api telah dikosongkan dari pelabuhan di kawasan itu.

"Masih terlalu awal untuk menyatakan berapa lama operasi pelabuhan dan rel akan ditutup," katanya dalam satu kenyataan.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI