fb fb fb fb fb

China-UK sedia perkukuh hubungan dua hala

Setiausaha Luar Britain David Lammy berjabat tangan dengan Menteri Luar China Wang Yi/ Reuters

LONDON, 14 Februari- China bersedia untuk bekerjasama dengan United Kingdom (UK) ke arah hubungan dua hala termasuk dalam infrastruktur, perdagangan dan pelaburan.

Kementerian Luar China dalam satu kenyataan memaklumkan Menteri Luar China Wang Yi melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Britain pada Khamis untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri UK Keir Starmer, menteri luar dan penasihat keselamatan negara itu.

Dalam pertemuannya dengan Keir Starmer, Wang berkata China dan UK perlu mengukuhkan komunikasi strategik, meningkatkan kepercayaan bersama dan menunjukkan tanggungjawab.

"Dialog kewangan China-UK baru-baru ini telah mencapai hasil memberangsangkan, dan pertukaran di semua peringkat telah disambung semula. Iamenunjukkan potensi besar kerjasama praktikal antara kedua-dua negara," kata Wang, merujuk kepada dialog ekonomi dan kewangan antara kedua-dua negara di Beijing bulan lepas.

Parti Buruh, yang berkuasa di Britain sejak Julai, telah menjadikan hubungan lebih baik dengan China sebagai salah satu matlamat dasar luar utama negara itu, ia berikutan hubungan kedua-dua negara terganggu dalam beberapa dekad bawah kerajaan konservatif berturut-turut.

Menurut jurucakap kepada Keir Starmer, beliau mahukan hubungan "konsisten dan hormat" antara kedua-dua negara.

"Beliau menggariskan hasratnya untuk membina hubungan yang konsisten dan hormat antara UK dan China... termasuk memperdalam kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan bidang lain yang menguntungkan bersama.

"Beliau mengulangi bahawa UK akan sentiasa terlibat secara langsung dan komited kerajaan ini untuk mengekalkan dengan China," kata jurucakap itu.

Mereka juga membincangkan pengukuhan kerjasama dalam menangani perubahan iklim, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga bersih.

Kedua-dua negara bersetuju dengan pertukaran dan kerjasama dua hala langkah seterusnya akan mempercepatkan persiapan untuk dialog institusi mengenai ekonomi dan perdagangan, kesihatan serta kerjasama perindustrian.

Sementara itu Setiausaha Luar British David Lammy berkata beliau berbincang dengan Wang mengenai keselamatan antarabangsa, perang di Ukraine dan Asia Barat.

Bagaimanapun Lammy menegaskan bahawa beliau akan terus mencabar China mengenai pemenjaraan taikun prodemokrasi Hong Kong Jimmy Lai, hak asasi manusia dan sekatan terhadap ahli parlimen Britain.

Menurut Wang, China mengalu-alukan semua usaha komited untuk rundingan damai dan menyokong pembinaan "seni bina keselamatan Eropah seimbang, berkesan dan mampan".- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI