fb fb fb fb fb

Taufan Yagi di Utara Vietnam: 24 maut 299 cedera

Foto Reuters

HANOI, 9 September - Sekurang-kurangnya 24 orang terkorban dan 299 lagi cedera di utara Vietnam selepas dilanda taufan Yagi yang mencetuskan tanah runtuh serta banjir, kata pihak berkuasa kerajaan pada Isnin.

Amaran lebih banyak kawasan dilanda banjir turut dikeluarkan.

Taufan Yagi merupakan ribut paling kuat di Asia tahun ini dan melanda di pantai timur laut negara itu pada Sabtu.

"Ia telah menyebabkan gangguan bekalan kuasa dan telekomunikasi di beberapa bahagian negara, kebanyakannya di Quang Ninh dan Haiphong," kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Agensi cuaca pada Isnin memberi amaran lebih banyak kawasan akan dilanda banjir dan tanah runtuh, dengan menyatakan bahawa hujan antara 208 milimeter dan 433 milimeter di beberapa bahagian di rantau itu dalam tempoh 24 jam lalu.

"Banjir dan tanah runtuh merosakkan alam sekitar dan mengancam nyawa orang ramai," kata Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan dalam satu laporan.

Dalam buletin berasingan, pusat itu berkata risiko banjir amat tinggi di wilayah Lang Son, Cao Bang, Yen Bai dan Thai Ngyen. - REUTERS

TETITIA YUSOFF