MANILA, 27 September - Jumlah kematian akibat Taufan Tropika Bualoi di Filipina meningkat kepada 11 orang setakat ini.
Taufan dengan kelajuan 120 kilometer sejam itu telah menghancurkan kemudahan awam, pulau-pulau kecil di tengah Filipina dan mencetuskan banjir, sekali gus memaksa kira-kira 400,000 penduduk berpindah.
Menurut pegawai bencana wilayah, Noel Lungay, antara kawasan paling teruk terjejas ialah pulau kecil Biliran, menyaksikan lapan orang maut dan dua hilang.
“Turut berlaku banjir teruk sehingga memutuskan laluan utama. Namun terdapat penduduk yang telah pulang ke rumah masing-masing apabila cuaca semakin baik," katanya.
Terdahulu, Pejabat Pertahanan Awam Manila melaporkan tiga lagi kematian berlaku di sebuah pulau berdekatan Masbate dan Ticao, termasuk dua orang dihempap pokok dan tembok yang tumbang akibat angin kencang.
14 orang lagi masih hilang di seluruh Filipina tengah, manakala lebih 200,000 masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara.
Taufan Tropika Bualoi dijangka tiba di luar pantai tengah Vietnam petang esok.