BANGKOK, 27 September - Jumlah kematian akibat banjir yang dicetuskan hujan monsun di Thailand meningkat kepada tujuh orang.
Bencana itu turut menjejaskan lebih daripada 260,000 penduduk merentasi beberapa wilayah di sepanjang sungai Chao Phraya.
Perdana Menteri Anutin Charnvirakul ketika melawat kawasan paling terjejas di wilayah Ayutthaya mengarahkan pihak berkuasa mengedarkan kit kelangsungan hidup, membuat penghadang banjir menggunakan beg berisi pasir serta memantau kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh.
“Kami mempunyai pasukan untuk membantu meringankan kesusahan rakyat dan kami akan berusaha untuk membantu penduduk sebaik mungkin," katanya.
Thailand tidak dilanda Ribut Tropika Bualoi yang membadai Filipina awal minggu ini, namun jabatan meteorologi memberi amaran mengenai kemungkinan hujan lebat akan berlaku dalam beberapa hari akan datang.