BEIJING, 27 September – Satu gempa bumi berukuran 5.6 skala Richter melanda daerah Longxi, Bandar Dingxi di wilayah Gansu, barat laut China pada pukul 5.49 pagi Sabtu, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC).
Gempa yang berpusat pada kedalaman 10 kilometer itu turut dirasai dengan kuat di Longxi, Zhangxian, Weiyuan dan Lintao di Bandar Dingxi, serta Wushan di Bandar Tianshui.
Setakat ini, tiada korban jiwa dilaporkan, namun beberapa rumah di kawasan luar bandar Longxi dilaporkan rosak, menurut kerajaan tempatan.
Pihak berkuasa bomba dan penyelamat mengerahkan pasukan serta kenderaan ke lokasi terjejas dan kesan penuh akibat gempa masih dalam proses penilaian.
Susulan kejadian itu, Pentadbiran Gempa Bumi China melancarkan tindak balas kecemasan tahap III, manakala Ibu Pejabat Bantuan Gempa Bumi Majlis Negeri dan Kementerian Pengurusan Kecemasan turut memulakan tindak balas kecemasan tahap IV serta menghantar pasukan kerja ke kawasan berkenaan.
Kementerian berkenaan memaklumkan 200 anggota penyelamat bersama 28 kenderaan dari Dingxi dan Tianshui, selain 26 anggota pasukan penyelamat khas dengan tujuh kenderaan, telah digerakkan ke pusat gempa. -REUTERS