fb fb fb fb fb

Pilihan raya Presiden Seychelles bermula, lapan calon bertanding

Penyandang jawatan Presiden Seychelles, Wavel Ramkalawan/ Foto REUTERS

VICTORIA, 27 September – Proses pengundian bagi pilihan raya presiden dan parlimen Seychelles bermula pada Khamis lalu di pulau-pulau kecil dan diteruskan pada Sabtu di pulau utama dengan keputusan dijangka diumumkan Ahad nanti.

Seramai 73,000 pengundi berdaftar akan memilih daripada lapan calon presiden.

Penyandang jawatan, Presiden Wavel Ramkalawan, yang pernah menjadi paderi Anglikan, menawarkan diri untuk penggal kedua dengan menekankan rancangan memperkukuh perlindungan sosial, membangunkan infrastruktur serta mengekalkan dasar berkecuali bagi menarik pelaburan asing.

Beliau dicabar hebat oleh Patrick Herminie daripada Parti United Seychelles, parti yang memerintah dari 1977 hingga 2020.

Herminie menegaskan rakyat berdepan kos sara hidup yang tinggi, kemerosotan mutu pendidikan, gejala rasuah dan penularan dadah.

Antara isu utama yang dibangkitkan pengundi ialah krisis narkotik, cabaran alam sekitar dan kedaulatan negara.

Sekiranya tiada calon meraih lebih 50 peratus undi, pusingan kedua akan diadakan membabitkan dua calon teratas. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN