fb fb fb fb fb

Dua wanita maut ketika cuba seberangi Selat Inggeris

Sejak Januari, sejumlah 32,000 migran direkodkan telah tiba di Britain dengan menaiki bot kecil/ Foto AFP

LILLE, 27 September – Dua wanita dilaporkan maut ketika cuba menyeberangi Selat Inggeris dari Perancis ke Britain, manakala kira-kira 60 orang lagi berjaya diselamatkan, menurut pihak berkuasa Perancis pada Sabtu.

Insiden berlaku berhampiran pantai Neufchatel-Hardelot, apabila sekitar 100 migran menaiki bot buatan sendiri untuk ke United Kindom (UK).

Seorang pegawai di Montreuil-sur-Mer, Isabelle Fradin-Thirode, berkata pasangan suami isteri bersama seorang anak yang mengalami hipotermia sederhana telah dihantar ke hospital di Boulogne untuk rawatan lanjut.

Menurut data rasmi yang disusun AFP, insiden ini menjadikan sekurang-kurangnya 25 orang maut ketika cuba menyeberangi Selat Inggeris tahun ini.

Sejak Januari, sejumlah 32,000 migran direkodkan telah tiba di Britain dengan menaiki bot kecil.

Di bawah skim baharu Perancis-Britain, UK boleh memulangkan migran yang tidak layak memohon suaka termasuk mereka yang melalui 'negara selamat' sebelum tiba di Britain.

Sebagai balasan, London bersetuju menerima bilangan sama migran dari Perancis yang dijangka mendapat kelulusan suaka.

Bagaimanapun, langkah itu masih belum menghalang migran daripada mengambil risiko berbahaya bagi mencapai destinasi akhir mereka.

Seorang migran, Saad, 30, warga Palestin dari Iraq yang ditemui AFP di kem sementara di Loon-Plage berhampiran Dunkirk berkata: “Kalau saya kekal di sini, saya mati. Kalau saya pulang, saya juga mati.” -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN