TAIWAN, 13 Ogos -Banyak aktiviti perniagaan terpaksa ditutup di selatan Taiwan, bekalan elektrik terputus serta ratusan penerbangan terganggu akibat Taufan Podul yang melanda negara itu.
Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA) kelajuan angin kencang mencecah hingga 178 kilometer sejam direkodkan sejurus sebelum taufan itu membadai Daerah Taitung.
Seorang dilaporkan hilang ketika keluar memancing dan dihanyutkan arus, manakala 33 orang cedera, menurut Agensi Bomba Kebangsaan.
Lebih 7,300 orang telah dipindahkan dari kediaman mereka dan banyak pokok serta papan tanda tumbang ketika ribut membadai wilayah tengah dan selatan yang masih dalam proses pemulihan.
"Kaohsiung, Tainan dan Chiayi dijangka menjadi kawasan tumpuan hujan malam ini dengan peningkatan hujan turut dijangka di Penghu dan Kinmen," kata Ketua CWA, Lu Kuo-chen dalam taklimat yang turut dihadiri Presiden Lai Ching-te.
"Kami benar-benar risau dengan taufan ini," kata seorang nelayan Kaohsiung, Huang Wei.
Taufan Krathon membadai Kaohsiung pada Oktober lalu dengan kelajuan angin mencecah 162 kph. - AFP