PATRAS, 13 Ogos -Pasukan bomba Greece bertungkus-lumus memadamkan beberapa kebakaran hutan yang berlaku serentak di seluruh negara pada Rabu, termasuk kebakaran besar yang mengancam perkampungan dan bandar berhampiran kota barat Patras serta dua pulau pelancongan, Chios dan Zakynthos.
Kebakaran telah memusnahkan rumah, ladang dan kilang serta memaksa ribuan penduduk dan pelancong dipindahkan sejak hari Selasa.
Berpuluh-puluh mangsa telah dimasukkan ke hospital akibat terhidu asap sejak Selasa, menurut penyiar awam ERT.
Seramai 13 anggota bomba telah menerima rawatan kerana melecur dan kecederaan lain, kata jurucakap pasukan bomba Vassilis Vathrakogiannis dalam satu taklimat yang disiarkan di televisyen pada Rabu.
Hampir 5,000 anggota bomba dengan bantuan 33 pesawat telah dikerahkan sejak awal pagi bagi mengawal kebakaran yang dicetuskan oleh angin serta cuaca panas dan kering di kawasan sekitar Patras, di pulau pelancongan Chios dan Zakynthos serta sekurang-kurangnya tiga lokasi pedalaman.
"Hari ini akan menjadi satu lagi hari yang sangat sukar, kerana risiko kebakaran hutan di kebanyakan kawasan di negara ini sangat tinggi," kata Vathrakogiannis. Suhu dijangka mencecah 34 darjah celsius di beberapa kawasan.
Api dan asap tebal kelihatan membumbung di atas sebuah kilang simen yang terbakar akibat kebakaran hutan yang melanda kebun zaitun dan hutan, serta mengganggu perkhidmatan kereta api berhampiran Patras pada hari Rabu. - REUTERS