TOKYO, 13 Ogos -McDonald’s Jepun telah memohon maaf susulan kempen pemberian kad Pokémon edisi terhad bersama "Happy Meal" yang mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial, melibatkan isu pembaziran makanan dan kesesakan pelanggan di restoran.
Kempen yang dilancarkan pada Jumaat lalu itu menarik perhatian ramai, namun menjadi huru-hara apabila segelintir individu membeli hidangan dalam jumlah besar semata-mata untuk mendapatkan kad Pokémon, sebelum menjualnya semula dengan harga lebih tinggi di laman e-dagang.
Situasi ini menyebabkan barisan panjang di cawangan-cawangan McDonald’s seluruh negara, selain munculnya gambar-gambar di media sosial termasuk beg plastik yang dipenuhi burger dan kentang goreng yang tidak dimakan.
Kekecohan itu mendorong sesetengah pengguna media sosial menggelarkan promosi tersebut sebagai kempen "Unhappy Meals".
"Saya tak dapat beli Happy Meal untuk anak perempuan saya disebabkan orang-orang macam ini," kata seorang pengguna di X (dahulunya Twitter).
Kad dengan watak "raksasa kecil" itu amat popular bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak malah pengumpul dewasa, dengan berbilion kad telah dicetak dan ada yang dijual pada harga berjuta-juta dolar.
Ketika mengumumkan kempen terbaharu ini, syarikat itu menekankan bahawa setiap orang hanya boleh membeli maksimum lima set Happy Meal.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, McDonald's mengakui terdapat beberapa kejadian "pembelian besar-besaran yang didorong oleh penjualan semula yang menyebabkan "makanan kami dibuang".
Pihak syarikat menambah bahawa mereka sedang berusaha untuk "memperkenalkan had pembelian yang lebih ketat" untuk kempen Happy Meal akan datang. - AFP