fb fb fb fb fb

Taufan Michaung melanda selatan India selepas 13 orang terbunuh dalam banjir, hujan

Foto Reuters

BHUBANESWAR, 6 Disember - Taufan Michaung melanda pantai selatan India pada Selasa dengan angin kencang, didahului oleh hujan lebat dan banjir yang mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang.

Ombak tinggi melanda bandar pantai selatan sejak dua hari lepas ketika taufan menghampiri, menenggelamkan seluruh kampung dan menghentikan semua pengangkutan apabila lebih 390,000 orang merasakan kesannya, kata pihak berkuasa.

Michaung mendarat berhampiran bandar pantai Bapatla di negeri Andhra Pradesh dengan angin sehingga 70 bsj yang kemudian turun sedikit apabila taufan kategori 'teruk' semakin lemah, kata pejabat cuaca India. Ia diramal semakin lemah dalam tempoh enam jam akan datang.

Sekurang-kurangnya 25 kampung ditenggelami air ketika taufan melintasi utara dan pihak berkuasa telah memindahkan lebih 15,000 orang ke tempat yang selamat sebelum taufan tersebut mendarat.

"Kami telah mengambil semua langkah dan mempunyai semua peralatan. Kami juga telah menyiarkan langkah berjaga-jaga kepada orang ramai semalam," Zahid Khan, seorang pegawai Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan, memberitahu agensi berita ANI, sambil menambah pasukan itu mempunyai beberapa pasukan yang ditempatkan di darat.

13 orang yang terbunuh termasuk kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun yang maut selepas tembok runtuh, kata pihak berkuasa manakala lebih 140 kereta api dan 40 penerbangan telah dibatalkan di negeri itu.

Banjir tersebut telah mengingatkan kembali tentang tragedi yang sama pernah berlaku di Chennai lapan tahun lalu yang mengorbankan 290 orang, ketika beberapa aktivis mempersoalkan sama ada infrastruktur di bandar itu boleh mengendalikan kejadian cuaca ekstrem.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN