fb fb fb fb fb

10 terbunuh dalam nahas bas di Honduras, Presiden isytihar berkabung

FOTO REUTERS

TEGUCIGALPA (Honduras), 6 Disember- Sebuah bas di Honduras terbabas dari lebuh raya dan jatuh ke dalam gaung semalam, membunuh 10 orang dan mencederakan kira-kira 24 yang lain, kata pihak berkuasa.

Bas itu, yang membawa hampir 60 orang, merempuh sebuah jambatan sebelum terhumban ke dalam sungai di dasar gaung kira-kira 41 kilometer (25 batu) dari Tegucigalpa, menurut pegawai polis.

Bomba Leftenan Cristian Sevilla memberitahu bahawa angka kematian rasmi, disahkan oleh perkhidmatan forensik Honduras, berjumlah 10 mangsa.

Angka kematian turut disahkan jurucakap pengarah jalan raya dan pengangkutan negara Honduras serta jurucakap pejabat peguam negara.

Mereka yang cedera parah telah dibawa ke hospital dengan ambulans dan helikopter.

Sementara itu, Presiden Xiomara Castro berkata di media sosial kerajaan telah mengisytiharkan tiga hari berkabung.

“Ini adalah tragedi yang memberi kesan kepada kita semua,” tulis Castro, sambil menambah bahawa kerajaan akan menanggung kos pengebumian mangsa.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI