MEXICO CITY, 29 September - Penduduk di barat daya Mexico dipindahkan dari kediaman yang dibanjiri air selepas Taufan John melanda pesisir Pasifik selama seminggu, menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang meragut sekurang-kurangnya 22 nyawa.
Guerrero, negeri paling terjejas di Mexico, menyaksikan 18 kematian akibat tanah runtuh yang menghancurkan rumah-rumah, menurut laporan media tempatan.
Di Oaxaca, tiga kematian dilaporkan, manakala seorang budak lelaki lemas di sungai di Michoacan.
Taufan John, yang mula terbentuk pada hari Isnin, melemah pada Jumaat dan tidak lagi diklasifikasikan sebagai ribut aktif.
Gabenor Guerrero, Evelyn Salgado, berkongsi gambar usaha menyelamat di Acapulco, dengan anggota kecemasan menggunakan bot, jetski dan helikopter. Akses ke lapangan terbang juga telah dipulihkan.
Penduduk di kawasan yang terjejas meminta bantuan susulan bencana ini, yang berlaku kurang setahun selepas Taufan Otis melanda bandar tersebut.
Taufan John dikatakan hampir tiga kali ganda daripada yang dibawa oleh Otis pada 2023, yang mengakibatkan lebih 50 kematian.
Presiden, Andres Manuel Lopez Obrador mengumumkan penubuhan pusat perlindungan dan dapur bagi membantu mangsa yang terjejas.
Pakar meteorologi memberi amaran bahawa suhu lautan yang lebih panas membolehkan taufan menjadi lebih kuat dengan cepat, memberi masa yang singkat kepada komuniti pesisir untuk bersedia.–REUTERS