fb fb fb fb fb

Pencarian migran hilang di Kepulauan Canary disambung

Foto Reuters

EL HIERRO, 29 September – Pasukan penyelamat menyambung semula pencarian kira-kira 48 migran yang hilang selepas bot mereka terbalik berhampiran Pulau El Hierro, Sepanyol.

Setakat ini, sembilan mangsa termasuk seorang kanak-kanak disahkan maut dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi Sabtu, menurut pihak berkuasa kecemasan dan penyelamat.

Seramai 27 daripada 84 migran yang cuba sampai ke pantai Sepanyol berjaya diselamatkan.

Sebuah kapal pengawal pantai dilaporkan telah berlepas dari Pulau El Hierro pada Ahad untuk menyambung semula pencarian, dengan lebih banyak kapal penyelamat dan sokongan udara dijangka menyusul.

Pihak berkuasa Sepanyol memaklumkan bahawa para migran terbabit berasal dari Mali, Mauritania, dan Senegal.

Pihak berkuasa kecemasan menerima panggilan pada Sabtu tengah malam dari bot yang terletak kira-kira empat batu di timur El Hierro sebelum bot itu karam semasa operasi menyelamat.

“Mereka telah berada di laut selama sekurang-kurangnya dua hari tanpa makanan, dan terdapat panik sebelum bot terbalik,” kata wakil kerajaan Sepanyol di Kepulauan Canary, Anselmo Pestana.

Antara yang maut termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun, menurut NGO Walking Borders.

Pada malam yang sama, tiga bot lain tiba di Kepulauan Canary membawa seramai 208 migran.

Laluan dari Afrika ke Kepulauan Canary mencatat peningkatan migran sebanyak 154 peratus tahun ini, dengan 21,620 migran direkodkan menyeberang dalam tujuh bulan pertama tahun ini, menurut data agensi sempadan Kesatuan Eropah, Frontex.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN