fb fb fb fb fb

Taufan Freddy: Setengah juta hilang tempat tinggal di Malawi

(Mayat mangsa banjir lumpur dijumpakan dalam operasi mencari dan menyelamat di lereng Bukit Soche
di Blantyre, Malawi 
pada 17 Mac 2023/AFP)

LILONGWE, 22 Mac- Lebih setengah juta orang kehilangan tempat tinggal akibat Taufan Freddy yang melanda Malawi, minggu lalu.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa turut mengeluarkan amaran bahawa keperluan kemanusiaan akan meningkat bagi negara itu, ditambah risiko peningkatan kes taun akibat sistem air dan tandas yang terjejas susulan taufan berkenaan.

Freddy membawa taburan hujan lebat selama tempoh enam hari dengan anggaran kapasiti air untuk keperluan selama enam bulan.

Ia menyebabkan sekurang-kurangnya 500 orang terkorban di selatan negara, manakala 150 lagi maut di sepanjang laluan taufan berkenaan di beberapa negara selatan Afrika sejak akhir Februari.

"Hampir 508,250 orang kehilangan tempat tinggal dan sekurang-kurangnya 499 terbunuh akibat banjir di Malawi.

"Mereka yang terjejas amat memerlukan sokongan kemanusiaan dengan keperluan paling segera ialah tempat tinggal, makanan, air bersih, sanitasi dan kebersihan, kesihatan dan perlindungan," menurut Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) PBB.

Taufan Freddy pertama kali melanda selatan Afrika pada akhir Februari dengan membadai Madagascar dan Mozambique, serta Malawi.

Lebih satu juta orang terjejas di Madagascar dan Mozambique, dengan lebih 160,000 orang kehilangan tempat tinggal. -AFP

 (Jalan runtuh disebabkan air banjir akibat hujan lebat berikutan taufan Freddy
di Blantyre, Malawi/AFP)

Media Baharu