fb fb fb fb fb

Lima maut akibat wabak Marburg di Tanzania

(Foto fail/AFP)

DAR ES SALAAM, 22 Mac- Penyakit misteri yang membunuh lima orang di Tanzania telah dikenal pasti sebagai wabak demam berdarah Marburg iaitu 'sepupu' kepada wabak Ebola.

"Keputusan makmal kesihatan awam telah mengesahkan bahawa penyakit itu disebabkan oleh virus Marburg," kata Menteri Kesihatan, Ummy Mwalimu.

Mwalimu turut menggesa rakyat untuk bertenang dengan memaklumkan kerajaan telah berjaya mengawal penularan penyakit tersebut.

"Tidak perlu panik atau menghentikan aktiviti ekonomi kerana Tanzania bukanlah yang pertama.

"Kementerian mempunyai semua yang diperlukan untuk mengawal penyakit berjangkit itu," kata Mwalimu.

Beliau mengesahkan, ketika ini, terdapat tiga pesakit sedang dirawat di hospital dengan kira-kira 161 kontak rapat kepada pesakit berkenaan sedang dikesan pihak berkuasa.

Marburg merupakan mikrob berbahaya yang menyebabkan demam teruk, disertai pendarahan dan kegagalan organ.

Ia adalah sebahagian daripada keluarga filovirus termasuk Ebola, yang telah mendatangkan malapetaka dalam beberapa wabak sebelumnya di Afrika.

Virus itu mengambil namanya daripada bandar Marburg di Jerman, lokasi ia mula dikenal pasti pada tahun 1967, selepas seorang pekerja makmal bersentuhan dengan monyet yang dijangkiti yang diimport dari Uganda. -AFP

(Ummy Mwalimu)

Media Baharu