fb fb fb fb fb

PM Greece umum pilihan raya pada Mei

(Kyriakos Mitsotakis/AFP)

ATHENS, 22 Mac- Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis pada Selasa mengumumkan negara itu akan mengadakan pilihan raya umum pada Mei depan, ketika kerajaannya berdepan kemarahan rakyat berhubung nahas kereta api yang mengorbankan 57 orang pada Februari.

"Saya boleh memberitahu anda dengan pasti bahawa pilihan raya akan berlangsung pada Mei," katanya dalam temu bual di saluran TV Alpha.

Tempoh mandat kerajaan konservatif bakal tamat pada awal Julai.

Menurut media tempatan, pilihan raya pada mulanya dirancang pada April, namun insiden perlanggaran antara dua buah kereta api yang disifatkan kemalangan kereta api terburuk dalam sejarah Greece itu telah 'merencatkan' rancangan pilihan raya terbabit.

Nahas itu mencetuskan protes selama berminggu-minggu dan memberi tamparan hebat kepada Mitsotakis serta kerajaannya menjelang pilihan raya.

Kebanyakan mangsa adalah pelajar universiti yang pulang bercuti panjang pada hujung minggu.

Menteri pengangkutan meletak jawatan selepas tragedi itu, manakala ketua balai yang bertugas semasa kemalangan dan tiga pegawai kereta api lain telah didakwa dan berdepan kemungkinan hukuman penjara seumur hidup.

Pada masa sama, kesatuan kereta api mendakwa rangkaian itu kekurangan dana, kekurangan kakitangan dan terdedah kepada kemalangan selepas sedekad pemotongan perbelanjaan. -AFP

(Penunjuk perasaan memegang sepanduk bertulis "pembunuh" ketika ribuan berarak melalui
jalan raya Athens pada 12 Mac 2023  berhubung tragedi kereta api terburuk
di Greece pada 28 Februari/AFP)

Media Baharu