WASHINGTON, 16 Ogos -Taufan Erin semakin aktif pada Jumaat ketika ia bergerak di Lautan Atlantik menuju ke Caribbean dengan ramalan membawa hujan lebat ke Kepulauan Virgin dan Puerto Rico.
Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC) memaklumkan pada pukul 0000 GMT, kelajuan angin maksimum Erin meningkat kepada 85 batu sejam (137 kilometer sejam) dan kedudukannya kira-kira 310 batu di timur utara Kepulauan Leeward, iaitu kawasan yang merangkumi Kepulauan Virgin Amerika Syarikat dan British.
Erin, taufan pertama musim Atlantik tahun ini, dijangka membawa hujan lebat dari lewat Jumaat hingga Ahad ke kawasan tersebut.
NHC memberi amaran tentang kemungkinan banjir kilat dan banjir bandar yang ketara di beberapa kawasan, serta risiko tanah runtuh atau gelongsoran lumpur.
Amaran ribut tropika turut dikeluarkan untuk beberapa pulau termasuk Anguilla, St. Martin dan St. Barthelmy.
Ribut itu berpotensi mencurahkan hujan setinggi enam inci (15 sentimeter) di beberapa kawasan tertentu, tambah NHC.
Ombak besar yang dijana oleh Erin dijangka melanda sebahagian Kepulauan Leeward, Kepulauan Virgin dan Puerto Rico, yang “berkemungkinan menyebabkan keadaan ombak dan arus rip yang mengancam nyawa,” menurut pusat itu lagi.
Taufan itu dijangka membelok ke arah utara menjelang lewat Ahad. Walaupun ahli meteorologi yakin Erin tidak akan menghampiri pantai AS, mereka memberi amaran bahawa ia mungkin tetap menghasilkan ombak berbahaya dan hakisan di kawasan seperti Carolina Utara.
Musim taufan Atlantik, yang berlaku dari Jun hingga akhir November, diramalkan lebih ganas berbanding biasa tahun ini, menurut pakar meteorologi AS. - AFP