AMERIKA SYARIKAT, 16 Ogos -Senator Republikan Josh Hawley,pada Jumaat mengumumkan siasatan terhadap Meta susulan dakwaan bahawa chatbot AI syarikat itu dibenarkan menjalankan perbualan dalam talian yang berpotensi membahayakan dengan kanak-kanak.
Hawley, telah memuat naik salinan surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Meta Mark Zuckerberg, yang menuntut semua dokumen dan komunikasi berkaitan satu laporan bahawa chatbot AI Meta dibenarkan terlibat dalam perbualan bersifat "romantik" dan "sensual" dengan individu bawah umur.
Beliau berkata Jawatankuasa Kecil Kehakiman Senat mengenai Jenayah dan Keganasan yang diketuainya, akan memulakan siasatan bagi menentukan sama ada produk AI generatif Meta membolehkan eksploitasi, penipuan atau sebarang bentuk jenayah terhadap kanak-kanak.
Meta diarahkan untuk menyimpan semua rekod berkaitan dan mengemukakannya kepada Kongres selewat-lewatnya pada 19 September.
Senator dari Missouri itu turut memetik contoh laporan yang mendakwa salah satu chatbot AI Meta merujuk tubuh seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sebagai "sebuah karya seni" dan "harta yang saya hargai sepenuh hati."
Meta setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen. - AFP