AMERIKA SYARIKAT, 16 Ogos -Peguam Negara Louisiana Liz Murrill memfailkan saman terhadap platform permainan dalam talian popular, Roblox, atas dakwaan membolehkan eksploitasi kanak-kanak tuduhan yang dinafikan keras oleh syarikat tersebut pada Jumaat.
Murrill, mendakwa Roblox yang berpusat di Silicon Valley, memudahkan penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak serta eksploitasi terhadap golongan bawah umur.
"Roblox dipenuhi dengan kandungan berbahaya dan pemangsa kanak-kanak kerana ia mengutamakan pertumbuhan pengguna, pendapatan dan keuntungan melebihi keselamatan kanak-kanak,” kata Murrill dalam satu kenyataan.
Saman tersebut menuduh Roblox secara "sengaja dan sedar" gagal melaksanakan langkah-langkah keselamatan asas untuk melindungi pengguna muda.
Menurut dokumen mahkamah, hampir 82 juta orang menggunakan Roblox setiap hari, dengan lebih separuh daripada jumlah itu berusia bawah 18 tahun.
"Sebarang dakwaan bahawa Roblox sengaja meletakkan pengguna kami dalam risiko eksploitasi adalah tidak benar,"kata syarikat itu dalam kenyataan balas yang disiarkan pada Jumaat.
Ditubuhkan pada tahun 2004, Roblox merupakan sebuah platform permainan dan penciptaan maya yang membolehkan pengguna bermain, membina serta berkongsi pengalaman interaktif.
Menurut Institut Keselamatan Dalam Talian Keluarga (FOSI), Roblox adalah antara platform dalam talian paling popular dalam kalangan kanak-kanak, “menawarkan dunia permainan interaktif, permainan imaginatif dan ekspresi kreatif.”
FOSI juga menyediakan panduan keselamatan di laman webnya bagi membantu ibu bapa memahami asas penggunaan Roblox, cara interaksi anak-anak mereka di platform itu, serta bagaimana menggunakan ciri-ciri seperti penapis kandungan, tetapan sembang dan kawalan masa skrin.
Pada penghujung tahun lalu, Roblox mengumumkan peningkatan besar daripada segi keselamatan, termasuk pelaksanaan kawalan ibu bapa secara jarak jauh dan sekatan komunikasi bagi pengguna bawah 13 tahun.
FOSI menyambut baik langkah tersebut, dengan ketuanya menyatakan bahawa Roblox sedang mengambil “langkah besar ke arah membina persekitaran digital yang lebih selamat.” - AFP